MASJID DARUSSALAM PUCHONG

Syarat & Polisi

DAFTAR AHLI KARIAH MASJID DARUSSALAM PUCHONG
1. TAKRIF
(a)  “Ahli kariah” bermaksud seseorang yang tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kariah
(b)  “Ahli kariah berdafar” bermaksud ahli kariah yang telah didaftarkan.
(c) “Daftar Ahli Kariah” bermaksud suatu daftar ahli kariah.
(d) “JAIS” bermaksud Jabatan Agama Islam Selangor;
(e) “Majlis” bermaksud Majlis Agama Islam Selangor;
(f) “PAID” bermaksud Pejabat Agama Islam Daerah. 

2. SYARAT- SYARAT KELAYAKAN AHLI KARIAH BERDAFTAR 
Mana - mana orang yang layak menjadi ahli kariah berdaftar bagi sesuatu masjid dan surau jika memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti berikut:
(a)  Warganegara Malaysia;
(b)  Berumur 18 tahun dan keatas;
(c)  Berpegang dan beramal dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah; dan
(d)  Tinggal tetap bermukim atau bermastautin sekurang- kurangnya dalam tempoh empat (4) bulan di dalam sesuatu kariah masjid atau surau yang dia hendak mendaftarkan dirinya sebagai ahli kariah berdaftar.

3. PENETAPAN SEMPADAN KARIAH MASJID
3.1 Sempadan kariah masjid hendaklah ditentukan berdasarkan persempadanan kariah masjid yang dibuat menurut kuasa Majlis.

4. TATACARA PENDAFTARAN AHLI KARIAH
4.1 Ahli kariah perlu mengisi lengkap Borang Pendaftaran Ahli Kariah secara atas talian mengikut aplikasi ini.
4.2 Borang Pendaftaran Ahli Kariah hendaklah disertakan dengan dokumen berikut:
       (a) Salinan dokumen pengenalan diri ahli kariah.

4.3 Jika alamat yang tercatat dalam dokumen pengenalan diri bukan merupakan alamat mastautin bagi ahli kariah itu, dia hendaklah melampirkan dokumen pengesahan pemastautinan yang diperakui oleh Nazir atau Pengurus Masjid mengikut mana-mana yang berkenaan.

5. TUJUAN PENDAFTARAN AHLI KARIAH
(a)  Memastikan proses bancian dan pendaftaran ahli kariah dalam Daftar Ahli Kariah dikemas kini bagi memenuhi kehendak Majlis
(b)  Memastikan pendaftaran ahli kariah bagi sesuatu masjid dan surau dilaksanakan secara telus dan teratur.
(c) Menjadi rujukan dalam menentukan status ahli kariah dalam Mesyuarat Agung Khas bagi tujuan pencalonan dan pemilihan mana-mana orang yang menjawat apa-apa jawatan dalam pengurusan sesuatu masjid atau surau atau bagi apa-apa tujuan lain yang berkaitan dengan penentuan ahli kariah bagi sesuatu masjid dan surau.

6. PEMBATALAN AHLI KARIAH BERDAFTAR DALAM DAFTAR AHLI KARIAH
6.1 Mana-mana ahli kariah berdaftar boleh dibatalkan pendaftarannya dalam Daftar Ahli Kariah jika dia—
(a) Tidak bermastautin atau bermukim di dalam kariah berkenaan;
(b) Meninggal dunia; atau
(c) Gila.
6.2 Mana-mana orang boleh membuat aduan kepada Nazir, Pengerusi Surau, Pengurus Masjid atau Pengurus Surau mengikut mana-mana yang berkenaan, jika berlaku perkara-perkara yang boleh membatalkan pendaftaran seseorang ahli kariah berdaftar seperti yang dinyatakan dalam garis panduan 6.1.
6.3 Nazir, Pengerusi Surau, Pengurus Masjid atau Pengurus Surau hendaklah memaklumkan aduan yang diterima di bawah garis panduan 6.2 untuk pertimbangan dalam mesyuarat atau mesyuarat khas bagi Jawatankuasa Kariah, Jawatankuasa Surau, Jawatankuasa Pengurusan Masjid atau Jawatankuasa Pengurusan Surau.
6.4 Tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Kariah, Jawatankuasa Surau, Jawatankuasa Pengurusan Masjid atau Jawatankuasa Pengurusan Surau, nama seseorang ahli kariah berdaftar itu hendaklah dipotong bagi tujuan pembatalan dalam Daftar Ahli Kariah

7. LAIN-LAIN
(a) TIADA BAYARAN
(b) TIDAK PERLU MAKLUMAT KENDERAAN 


Sekian, terima kasih

PENTADBIR